Selamat Datang ke Portal rasmi SMK Tun Ismail

SMK Tun Ismail

Portal Rasmi SMK Tun Ismail Batu Pahat


Selamat datang diucapkan kepada pembaca yang berkunjung ke portal rasmi SMK Tun Ismail Batu Pahat. SMK Tun Ismail ini adalah sebuah sekolah menengah yang terletak di pekan Parit Raja, Batu Pahat dengan mengambil nama bersempena nama seorang tokoh kelahiran Johor yang banyak berjasa kepada nusa bangsa dan negara dalam usaha menuntut kemerdekaan iaitu Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abd. Rahman. 

Penggunaan internet yang semakin meluas kini telah dijadikan salah satu faktor portal rasmi ini dibangunkan. Disamping dapat menyampaikan maklumat dengan lebih efisien dari segi pengisiannya yang menyeluruh, penggunaan teknologi ini efisien dari segi akses maklumat yang boleh dilakukan di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Oleh itu, diharapkan, dengan adanya portal rasmi ini akan dapat membantu dan juga memudahkan para pelajar, guru-guru dan juga orang awam untuk mengetahui info lebih lanjut berkenaan dengan SMK Tun Ismail ini. Terima Kasih.

Sejarah kelahiran SMK Tun Ismail

 photo old-school-3_zps7825d303.png  photo old-school-4_zps13417b4d.png

Sekolah ini telah mula diasaskan pada 7 Februari 1965 dengan nama Sekolah Menengah Rendah Kebangsaan Parit Raja. Pada awalnya sekolah ini ditempatkan di bangunan Sekolah Inggeris Malaysia yang terletak di Jalan Mohamad, Parit Raja yang telah dipinjamkan oleh Tuan Hj. Muhamad bin Hj. Nawawi yang ketika itu berkhidmat sebagai Penghulu Mukim 8, Batu Pahat. Sekolah ini diterajui oleh Encik Pitdin bin Norit selaku Penyelia dengan dibantu oleh beberapa orang guru. Pada 27 Ogos 1968 Sekolah ini telah ditukar nama kepada Sekolah Menengah Tun Ismail bagi mengenang jasa dan pengorbanan Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman.

Pada tahun 1965, sekolah ini mempunyai 3 blok bangunan yang mengandungi bilik darjah, pejabat, makmal dan lain-lain, 1 blok kantin serta 2 buah rumah guru. Pada tahun 1967, sebuah padang permainan telah disiapkan. Pada tahun 1969 pula, sebuah makmal sains telah dibina. Seterusnya, bangunan baharu yang terdiri dari bilik darjah, perpustakaan, makmal sains tulen dan bengkel Seni Perusahaan telah dibina pada awal tahun 1974. Mulai tahun 1977 sekolah ini telah mempunyai aliran sastera dan sains serta mempunyai dua sesi persekolahan. Untuk mengatasi masalah tersebut, sebuah lagi bangunan telah dibina pada tahun 1979.

 photo old-school-2_zps9207781a.png  photo old-school-6_zpsf77869a7.png

Yang Berhormat DAtuk Mustaffa Mohamad, Menteri Kebajikan Masyarakat pada masa itu telah memperuntukkan wang untuk membina surau Al-Naimah yang telah siap pembinaannya pada tahun 1987. Pada tahun 1989 sebuah bangunan yang mengandungi 4 bilik darjah dan sebuah stor telah dibina. Seolah ini juga telah mendapat peruntukan untuk membina kompleks sukan yang telah disiapkan pada tahun 1992. Sekali lagi, Yang Berhormat Datuk Mustaffa telah menyumbangkan sebanyak RM 22,000.00 untuk pembinaan sebuah Dewan Terbuka. Pada tahun 1992, sekolah ini telah mendapat sebuah blok 3 tingkat yang mengandungi 12 bilik darjah, 3 buah makmal sains, bilik air dan stor. Lebihan peruntukan bangunan tambahan tersebut membolehkan pilah sekolah membina lima belah ruang tempat letak kereta. Selain itu, pihak jabatan juga telah membina sebuah bilik kebal.

Pada tahun 2000, Program Pendidikan Khas (Kelas Penyayang) yang diketuai oleh Tuan Haji Kosnon bin Sunda telah dibuka. Pada tahun 2003 pula, sebanyak 3 buah kelas tingkatan enam telah mula dibuka untuk para pelajar yang berkelayakan. Dewan Tun Ismail dan kemudahan Makmal Komputer Sri Bestari juga telah dirasmikan penggunaannya pada tahun 2004. Pada tahun 2006, Jabatan Pelajaran Negeri Johor telah membiayai pengubahsuaian Kelas Pendidikan Khas. Pada tahun 2006 juga sebuah Teratak Bacaan telah dibiayai pembinaanya oleh koperasi sekolah. Seterusnya, pihak koperasi sekolah juga telah membina sebuah lagi pondok iaitu Anjung Karyawan.

 photo old-school-5_zps1bdf30ed.png  photo old-school-1_zps5555608d.png

Banjir yang melanda pada awal tahun 2007 ada hikmahnya apabila bengkel Kemahiran Hidup telah dibaik pulih manakala pejabat pentadbiran telah dipindahkan ke tingkat satu blok C. Blok MPV pula siap dibina pada tahun 2009. Mulai awal tahun 2010, pelajar tingkatan enam atas telah ditempatkan di Blok N manakala dua blok kabin untuk menampung keperluan pelajar tingkatan enam juga telah mula digunakan pada akhir tahun 2010. Pada tahun 2010 dan 2011 juga surau Al-Naimah dan Dataran Ilmu telah dinaik taraf untuk kemudahan para pelajar yang semakin bertambah. Pada tahun ini juga Kelas Penyayang telah memperoleh sebuah bilik tambahan di blok A menjadikannya sebagai 3 buah.

Kesedaran Sivik


Kes buli atau lebih dikenali sebagai ragging merupakan satu aktiviti tidak bermoral yang sering dilakukan oleh pelajar terutama pelajar senior. Kes seperti ini bukanlah satu perkara yang baru kerana sudah menjadi lumrah apabila pelajar baru masuk ke sekolah atau universiti, pelajar senior akan memainkan ‘peranan’ mereka. 

Di Malaysia, ragging bukanlah suatu perkataan asing walaupun kepada seseorang yang tidak fasih berbahasa Inggeris. Boleh dikatakan semua pelajar (atau bekas pelajar) tahu tentang apa itu ragging. Terjemahan ragging yang sedang popular pada hari ini ialah “buli”, tapi mungkin masih ada lagi sesetengah orang yang lebih selesa menterjemahkannya sebagai “mendera”. 

Dan atas sebab peningkatan kes buli yang semakin ketara, sebuah video pendek telah dihasilkan untuk meningkatkan kesedaran sivik pelajar terhadap sikap yan tidak bermoral ini. Dengan bantuan pelajar-pelajar SMK Tun Ismail, diharapkan, video ini dapat memberikan mesej yang bermakna dan meningkatkan dasar kemanusiaan pelajar-pelajar untuk tidak meneruskan gejala tidak sihat ini.